21 Jenis Kerusi Yang Selesa dan Sesuai untuk Ruang Anda.

  • Posted in Perabot
  • Updated
  • 10 mins read

Duduk di atas lantai bukanlah sesuatu yang cukup selesa bagi kebanyakan orang dan keadaan, tambah-tambah bagi mereka yang telah berumur. Orang zaman dahulu mungkin tak tahu tentang jenis postur yang sihat, , tapi mereka tahu satu perkara tentang duduk di atas lantai, iaitu ianya menyakitkan punggung dan sejuk jika duduk di atas lantai simen. Disebabkan itu, mereka suka duduk dengan beralaskan kain, tikar, atau bantal.

Namun bukanlah admin nak menafikan kerusi telah wujud sejak zaman dulu. Mungkin pada awalnya, ia hanya merupakan jenis kerusi asas yang diperbuat daripada kayu atau batu. Seiring dengan perkembangan masa dan bersilih ganti ketamadunan, reka bentuk kerusi menjadi lebih sofistikated dalam pelbagai bentuk dan tujuan atas faktor keselesaan kepada orang ramai. Kini penggunaan kerusi pun sudah meluas, mungkin kerana faktor penghasilan besar-besaran dan berkembangnya industri dan perkilangan.

Dari sudut kesihatan, kerusi dapat membantu membentuk postur yang baik dan membantu anda terhalang dari rasa gelisah dan sindrom hilang fokus. Anda tentu perasan, seorang kanak-kanak, akan kelihatan tidak tenteram semasa membuat kerja sekolah di lantai, seperti duduk kemudian meniarap, mudah terleka, bermain dengan alatan tulisnya, tetapi kanak-kanak yang sama, mampu kekal fokus ketika berada di atas kerusi di bilik darjah. Nak cerita, anak admin gitu la peelnya.

Pada zaman moden, dari malam ke pagi, kebanyakan aktiviti kita memerlukan kita untuk duduk di kerusi. Dan menggunakan kerusi semasa duduk dapat membantu mengekalkan postur yang sihat dengan bahagian belakang kekal disokong dan kaki anda melekap di lantai lantas menjadikan badan anda lebih merasa relaks dan dalam keadaan yang selesa.

Dari saat kita bangun pagi sehingga kita tidur malam, kerusi memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti kita. Mari kita terokai dunia kerusi dengan lebih mendalam.

Jenis-jenis Kerusi Utama Mengikut Ruang

Pemilihan kerusi yang tepat bergantung kepada ruang yang tersedia dan fungsinya. Mari kami bincangkan bagaimana pelbagai jenis kerusi yang telah dicipta untuk dimanfaatkan secara optimum mengikut ruang dalam rumah atau pejabat yang akan mempengaruhi mood seisi keluarga.

Variasi Kerusi Ruang Tamu

Kerusi bagi ruang tamu adalah perabot penting, kerana ia menawarkan gaya, keselesaan dan tempat yang menarik untuk ahli keluarga duduk dan berehat. Kerusi yang dipilih dengan baik akan menambahkan keselesaan dan menjadipelengkap kepada bilik.

Apabila berbicara tentang kerusi yang harus diletakkan di ruang tamu rumah, kami mendapati terdapat pelbagai gaya untuk dipilih. Daripada kerusi sekadar untuk bersandar kepada kerusi yang membaluti tubuh anda dengan kusyen, malah terdapat  aneka jenis kerusi yang tersedia untuk memenuhi keperluan sesiapa dan ruang mana sekalipun.

Dalam artikel kami yang lain, kami akan memperkenalkan kepada anda 11 jenis kerusi ruang tamu yang biasa digunakan dengan gaya orang eropah. Tetapi bagi artikel ini, biarlah secara ringkas kami perkenalkan beberapa jenis kerusi yang sesuai diletakkan di rumah-rumah anda. 

Kerusi sofa

  • Sofa merujuk kepada tempat duduk yang hadir dengan set tempat duduk untuk keluarga atau tetamu dengan ruang duduk bagi 2 atau 3 orang bagi satu-satu masa manakala kerusi berlengan dibina untuk diduduki oleh seorang. Keselesaan dan waktu santai bersama menjadi fokus pembuatan tempat duduk sofa.

21 Jenis Kerusi Yang Selesa dan Sesuai untuk Ruang Anda. - Kerusi Sofa

*Jika anda sedang berkira-kira untuk memilih set sofa, kami ada menyediakan artikel Top 5 Set Sofa Untuk Rakyat Malaysia 2024” bagi membantu anda DISINI.

Kerusi berlengan (Armchair)

  • Kerusi berlengan atau armchair seperti yang dibezakan diatas, dibina bagi diduduki oleh 1 orang dewasa. Kerusi jenis ini boleh dipilih sebagai salah satu daripada set duduk sofa, namun, bagi menaikkan seri ruang, atau untuk menunjukkan heirarki sebagai ketua rumah, kerusi berlengan boleh dipilih mengikut gaya dan jenis yang berlainan dari set sofa. Kerusi berlengan boleh dipilih untuk ayah-ayah sebagai sebagai tempat duduk tambahan yang bergaya merangkap takhta seorang ketua rumah. siapa duduk di situ pasti di piapp.

21 Jenis Kerusi Yang Selesa dan Sesuai untuk Ruang Anda. - Kerusi Berlengan (Armchair) - European-Style Solid Wood Wingback Chair

Kerusi Ottomon

  • Berlainan dengan kerusi berlengan, kerusi ottoman adalah merujuk kepada kerusi tanpa lengan dan bahagian sokongan belakang. Bagi kebanyakan masa, kerusi ottoman hanya berfungsi sebagai tempat letak kaki atau tempat duduk tambahan jika kekurangan tempat duduk. Tetapi jika dipilih dengan teliti, kerusi ottoman boleh menjadi penambah penyeri bagi ruang tamu. Tambah lagi dengan inovasi terkini yang menambah fungsi kerusi ini untuk menyimpan barang. Bijak!

Ottoman Storage Stool

Kerusi Goyang (Rocking Chair)

  • Kerusi goyang atau rocking chair, telah lama dikaitkan dengan ketenangan dan nostalgia. Yelah, kerusi ini menjadi pilihan atuk dan opah untuk terlelap ketika beristirehat. Macam diendoi, lagi-lagi pada hari yang cerah dan berangin.

Variasi Kerusi Ruang Makan​

Kerusi makan

  • Direka khas untuk keselesaan semasa makan. Kerusi makan adalah tulang belakang setiap ruang makan. Ia direka untuk menyokong postur yang betul semasa makan dan bersosial. Kerusi makan moden kini hadir dalam pelbagai gaya, dari klasik hingga kontemporari. 

Plastic Chair Dining Chair

Kerusi Makan Kanak-Kanak (Tinggi)

  •  Kerusi yang direka khas untuk kanak-kanak kecil agar dapat duduk sejajar dengan meja makan. Kerapkali dipasang dengan tali pinggang supaya dapat menghalang anak kecil dari terlalu aktif dan menghalang mereka terjatuh. Dan secara psikologi, dengan menggunakan kerusi jenis ini, dapat membantu anak kecil tentang waktu dan etika di meja makan kerana anak-anak belajar dari orang tua mereka. Jadi, mari kita tunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak.

Baby Chair Feeding With Safety Belt

Variasi Kerusi Dapur

Kerusi bar

  • Kerusi bar membawa suasana santai dan sosial ke dalam rumah. Ia sesuai untuk kaunter sarapan atau ruang bar mini di rumah. Ketinggiannya yang unik membolehkan interaksi yang lebih baik di ruang makan tidak formal. Dan juga kerusi yang digunakan untuk mesyuarat tingkap sambil membawang. Eh, memotong bawang. 

Metal High Bar Stool

Kerusi lipat

  • Kerusi yang serba boleh kerana boleh digunakan sewaktu menyediakan makanan, waktu makan, dan boleh dibawa ke mana-mana ruang yang diperlukan. Terlalu berguna bagi ruang dapur yang agak kecil dan terhad, kerusi ini mudah disimpan apabila tidak digunakan. 

Modern Folding Chair Dining Chair

Variasi Kerusi Bilik Tidur

Kerusi berlengan

  • Jika anda selalu meluangkan masa di dalam bilik tidur, memilih kerusi berlengan bagi diletakkan di dalam bilik tidur merupakan cara terbaik untuk meluangkan waktu jika mata belum mengantuk. Terutama sekali untuk sudut bacaan yang selesa.

Bedroom Chair

Kerusi meja solek

  • Kerusi ini direka khas untuk kegunaan di meja solek. Cuma admin enggan untuk bincangkan. Tapi kita semua tahu.

Dressing Stool

Variasi Kerusi Ruang Kerja atau Pejabat

Kerusi Eksekutif

  • Kerusi eksekutif merupakan kerusi yang akan digunakan secara terus menerus bagi tempoh 8 jam bekerja, jadi ia bukan sahaja perlu selesa, tetapi juga mesti menyokong postur yang betul untuk mengelakkan masalah kesihatan jangka panjang. Kini, kerusi pejabat moden sering dilengkapi dengan pelbagai ciri boleh laras untuk 

Typist Chair

Kerusi ergonomik

  • Seiring dengan zaman korporat yang berkembang, manusia menyedari bahawa duduk bekerja secara terus menerus selama 8 jam setiap hari memberi impak kepada kesihatan tubuh badan. Maka inovasi secara beransur-ansur berkembang bagi merekabentuk kerusi yang dapat menyokong postur yang sihat biarpun duduk bekerja bagi tempoh jangka yang panjang.

  • Kini, tercipta jenis kerusi ergonomik yang semakin dikenali sebagai pilihan terbaik bagi membantu para pekerja supaya dapat terus menghasilkan prestasi yang optimum bagi setiap saat bekerja. Dan para boss-boss sekalian, jika kerusi-kerusi di pejabat anda sudah lama tidak ditukar, sudah tidak empuk, atau bergoyang, dan koyak di sana-sini, silakanlah memilih kerusi dari jenis kerusi ergonomik supaya kesihatan para pekerja anda terjaga, dan semoga makin berprestasi tinggi.

Ergonomic Chair

*Jika anda mahu mengenali lebih lanjut tentang kerusi ergonomik, kami ada menyediakan artikel 5 Golongan Yang Perlukan Kerusi Ergonomik dan 4 Cara Penggunaan Yang Diabaikan” bagi membantu anda DISINI.

Kerusi pelawat

  • Jika anda baru membuka sebuah pejabat, kerusi pelawat adalah antara jenis kerusi yang mula-mula perlu anda fikirkan. Menerima pelawat dalam keadaan tuan rumah tidak menyediakan kerusi yang cukup atau tidak selesa untuk pelawat duduk adalah sesuatu yang patut dielakkan kerana dengan menyediakan tempat duduk pelawat adalah penting ketika mana menjalankan urusan perniagaan mahupun interaksi sosial yang lain. Tanpa disedari, ia dianggap menyantuni para pelawat lantas menaikkan imej profesionalism, rasa hormat dan rasa boleh diharap para pelanggan terhadap institusi anda.

  • Ditambah dengan rekabentuk kerusi yang tidak keterlaluan, dan bergaya elegan, mampu membantu memfokuskan kepercayaan pelanggan terhadap servis anda.

Kerusi Lounge

Kerusi lounge, atau kerusi santai, direka untuk keselesaan maksimum. Ia sesuai untuk ruang tamu atau sudut bacaan. Kerusi jenis ini sering dilengkapi dengan fabrik lembut dan bentuk yang ergonomik untuk memastikan keselesaan jangka panjang. Ia membantu pelanggan yang datang berurusan dengan anda untuk berehat dan bertenang sebelum membuat keputusan besar yang penting dengan memilih servis yang anda sediakan.

Bedroom Egg Chair

Kerusi Gaming

  • Dengan pertumbuhan industri e-sukan, kerusi gaming telah menjadi kategori tersendiri. Dengan bentuknya yang hampir menyerupai kerusi ergonomik, ciri rekaannya untuk memberi sokongan ergonomik semasa sesi permainan yang panjang, sering dilengkapi dengan ciri-ciri seperti sokongan lumbar boleh laras dan bantal kepala.

Gaming Chair

Variasi Kerusi Taman atau Balkoni

Kerusi healing

Mesti anda dah pernah dengar terma ini kan? Bagi mereka yang belum pernah dengar, kerusi “healing merupakan istilah bagi kerusi yang digunakan oleh mereka yang gemar kepada aktiviti luar seperti berkhemah, memancing, dan macam-macam acara luar. Bentuknya seperti Director’s Chair, ala-ala kerusi direktor Ahmad Nawab tu. Kerusi jenis ini tahan lasak dan direka untuk keadaan cuaca luar. Beli dan simpan siap-siap dalam kereta, jumpa saja sungai atau pantai, buka dan healinglah mengikut cara masing-masing. Senang bukan?

Kerusi Lipat

  • Kerusi lipat menawarkan penyelesaian praktikal untuk ruang yang terhad atau acara sementara. Ia ringan, mudah disimpan, dan serba boleh, menjadikannya pilihan popular untuk rumah kecil atau acara luar.

Kerusi Lipat

Kerusi malas

  • Kerusi malas ni admin dah tak perlu cerita, tapi masih gatal nak menaip. Jenis kerusi yang mungkin telah dicipta sejak zaman sebelum merdeka ini digunakan ntuk bersantai dan menikmati persekitaran luar. Kerusi jenis ini juga merupakan kerusi pilihan atuk-nenek kita dahulu untuk merehatkan badan pada waktu lapang mereka. Kini, terdapat lebih banyak rupa dan bentuk yang boleh dipilih sehinggakan ada rekabentuk kerusi healing yang menyerupai kerusi malas. Kreatif orang zaman sekarang. Dah tak nampak macam kerusi pelangi untuk atuk-nenek dah pun kan?

Kerusi Malas

Variasi Kerusi Ruang Serbaguna dan aktiviti-aktiviti Luar​

Kerusi boleh tindih

Sejenis kerusi asas yang mudah disimpan dan sesuai untuk acara atau perhimpunan sosial. Boleh juga digunakan pada aktiviti fizikal diluar seperti di sukan sekolah, malah kerusi ini amat-amat berguna untuk acara musical chair.

Stackable Plastic Dining Chair

Bean bag

Tidak seperti namanya, Bean Bag bukanlah sejenis kacang, malah bukan sebuah beg.
Sebuah kain yang berisi manik polistiren ini mampu menjadi tempat duduk yang gebu dan menjadi pilihan bagi menjadikan ruang yang serius kepada santai dan mudah disukai kerana sifatnya yang mudah dialih kemana-mana sahaja ketika anda sedang memilih tempat untuk berehat.

Bean Bag

Kerusi Urut Robotik

  • Kerusi urut direka untuk mengurut pengguna menggunakan kaedah getaran, tumbukan, tamparan dan putaran bebola dari motor elektronik terhadap tubuh bagi melancarkan peredaran darah seseorang pengguna. Jika dahulu, mesin kerusi urut hanya mudah didapati di RnR lebuhraya, kini anda boleh memilih pelbagai bentuk dan jenama untuk diletakkan di ruang rehat anda.

Massage Chair

Kesimpulan

Pemilihan kerusi yang bijak bukan sahaja meningkatkan fungsi sesuatu ruang, tetapi juga mempengaruhi estetik dan keselesaan keseluruhan. Dengan memahami tujuan penggunaan kerusi mengikut ruang yang ada, kita dapat merancang dan menghias rumah atau pejabat dengan lebih efisien dan selesa.

Ingatlah bahawa fleksibiliti adalah kunci. Sesetengah kerusi boleh berfungsi dengan baik dalam pelbagai ruang. Sebagai contoh, kerusi berlengan yang bergaya boleh digunakan di ruang tamu, bilik tidur, atau pejabat rumah. Yang penting adalah memilih kerusi yang bukan sahaja sesuai dengan ruang fizikal, tetapi juga memenuhi keperluan gaya hidup dan aktiviti harian anda.

Semoga Bermanfaat.