Bosan sangat duduk kat rumah bila tak ada TV.
Bila nampak je ada sale untuk TV sebijik harga RM700.00! Murah betul.
Tanpa selidik dulu tips beli tv, terus angkat sebijik TV kan.
Dah beli tu, pasang TV, horay-horay 2-3 hari.
Seronok betul beli TV baru, apa lagi nak fikir kan? Gambar Ada, suara ada, dah la.
Sampai la satu hujung minggu anda melawat rumah kenalan anda, tengok TV kat ruang tamu rumah dia,
“Weh, besarnya TV kau!. Aku punya kecik je”
“Weh, terangnya gambar, tak Gelap ek macam aku punya,”
“Weh, Suara TV kau jelasnya, aku punya kelam, muzik kuat, tapi bila heroin tu bercakap, macam berbisik dalam kelambu. Potong betul tengok drama tau,”
“Weh, TV kau lancar je bila main game, laki aku main game tersekat-sekat macam buffering youtube guna data 3G.”
Ok, sebelum anda hadapi situasi macamni, jom kita teroka sama-sama apa yang penting difikirkan sebelum membeli TV baru supaya puas hati membeli, menang mak munah memakai. Jom!
Ringkasan Artikel
Perkara Penting dalam Pemilihan TV
Macamana nak Tentukan Saiz Skrin Yang Sesuai
Macam kebanyakan orang lain, kalau anda tanya admin saiz TV apa yang best, mesti min akan jawab saiz besar macam skrin kat wayang.
Tapi saiz TV yang besar tidak semestinya sesuai dan selesa ditonton jika anda mempunyai ruang yang kecil. Jika anda memilih saiz lebih lebar, maka jarak mata anda ke skrin lebih sesuai dijarakkan mengikut cadangan dari gambaran ilustrasi di bawah. Harus kami ingatkan, jarak yang ditunjukkan adalah di dalam unit imperial, iaitu kaki dan inchi.
Kami sarankan anda mengukur jarak dari dinding ke hujung kaki sofa anda untuk mendapatkan saiz TV yang sesuai bagi ruang anda.
*Kami sediakan ukuran dalam metrik (meter) dalam jadual di bawah gambar ilustrasi.
Jarak yang sesuai ialah 9kaki 2inchi atau 2.8m. Ini bermaksud, sebuah TV bersaiz 70″ amat sesuai jika ruang anda berkelebaran lebih dari 3 meter.
Jarak yang sesuai ialah 7kaki 8inchi atau 2.34m. Ini bermaksud, sebuah TV bersaiz 60″ adalah amat sesuai jika ruang anda berkelebaran lebih dari 2.5 meter.
Jarak yang sesuai ialah 6 kaki 5 inchi atau 1.96m. Ini bermaksud, sebuah TV bersaiz 50″ adalah amat sesuai jika ruang anda berkelebaran lebih dari 2 meter.
Jarak yang sesuai ialah 5 kaki 3 inchi atau 1.6m. Ini bermaksud, sebuah TV bersaiz 40″ adalah amat sesuai jika ruang anda berkelebaran kurang dari 2 meter.
*Penting kami nyatakan disini, jarak yang dnyatakan ini adalah cadangan jarak yang minimumyang harus dijaga, dan hanya sebagai panduan anda sebagai pembaca. Jarak yang dicadangkan adalah demi menjaga kesihatan mata anda dan keluarga, yang mana harus diberi perhatian yang sewajarnya.
Resolusi
Resolusi yang tinggi akan menghasilkan gambar yang lebih tajam dan lebih jelas. Tahun 2024 ni, kebanyakan pengeluar TV sudah menghasilkan resolusi 4K walaupun bagi produk entri pemula mereka. Jika anda masih belum memahami maksud FHD, 4K, 8K, dan ukuran resolusinya, anda boleh rujuk gambar dari kompasiana ini.
Jenis Panel (LCD, LED, OLED, QLED,.....)
Banyak sangat jenis kan, sampai kadang terkeliru. Jadi kami cuba rungkaikan mengikut kelebihan dan perbezaan mengikut senioriti teknologi panel TV.
LCD
Teknologi LCD telah pun menjangkau 20 tahun penggunaan yang sebelumnya telahpun menggantikan CRT panel. Panel Jenis ini adalah antara yang paling lama tempoh jangka hayat dan jimat tenaga yang mungkin disebabkan oleh RND yang telah matang dan telah berkembang menjadi lebih optimum.
LED
Skrin LED adalah hasil dari kesinambungan dan gabungan dari teknologi LCD. Lantas menghasilkan teknologi baru yang menjadikan gambar yang lebih berkualiti, lebih nipis. Dicipta dengan mengekalkan ciri asal LCD; tahan lama dan murah.
OLED
Teknologi OLED adalah teknologi yang terhasil daripada penambahbaikan yang dilakukan terhadap teknologi LED. Skrin LED telah dinaiktaraf dan dipertingkat untuk menghasilkan imej dan cahaya sendiri melalui diod-diod kecil menjadikan kawalan imej dan cahaya yang lebih berwarna-warni, kepekatan warna hitam putih lebih kaya dan pekat, kontras yang lebih jelas.
QLED
LED panel yang menggantikan lapisan LCD dengan Quantum Dots panel, menghasilkan warna dan kontras yang lebih unggul berbanding LED biasa.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jenis panel dan mekanismanya, baca artikel kami mengenai “Apa itu LCD, LED, OLED, QLED, miniLED” dengan klik link ini.