Perbezaan Mesin Basuh Front Load dan Top Load – Cucian Mana Yang Lebih Bersih?

Rata-rata bagi para pengguna di Malaysia, memilih mesin basuh bukanlah sesuatu yang rumit, cukup sekadar melihat kepada kapasiti mesin basuh, harga dan dari jenama mana produk itu dikeluarkan. Yelah, buat apa nak pening-pening kepala memikirkan betapa ber- beza mesin basuh front load dan top load kan?
Kedua-duanya sama sahaja.
Tapi, betulke sama?

Dah kalau mesin basuh jenis top load yang selalu kita nampak di kebanyakan rumah yang kita lawati, dah tentulah mesin basuh top load ni bagus.

Harga mesin basuh jenis top load ni dah la murah, jimat air dan elektrik, senang digunakan, tak perlu terbongkok-bongkok semasa nak mengisi baju kotor ke dalam mesin.
Sekali lagi, betul ke?

Jom kami kongsikan beberapa perbezaan dalam membandingkan kelebihan dan kekurangan mesin basuh dari jenis top load dan front load. 
Perbezaan Mesin Basuh Front Load dan Top Load - Cucian Mana Yang Lebih Bersih?

Apa je perbezaan mesin basuh Front load dan top load ni?
Selain definisi pintu atas bagi mesin basuh top load, dan pintu depan bagi mesin basuh front load, kedua-duanya membersihkan baju-baju yang telah dipakai, kan?

Tapi, terdapat perbezaan ketara pada kedua-dua jenis mesin basuh dari segi bahan binaan, kualiti cucian, kadar penjimatan pada penggunaan air dan elektrik, dan cara penggunaan. Mari kita rungkaikan beberapa perkara dan perspesi yang pengguna tak sedar, ada pada kedua-dua jenis mesin basuh ini.

Kelebihan Mesin Basuh Top Load

Kita mulakan dengan jenis mesin basuh yang paling banyak digunakan di Malaysia ni dulu. Jenis mesin basuh ni memang menjadi kegemaran ramai ibu-ibu bagi membantu menyelesaikan masalah keras tangan memberus baju kotor anak-anak dan suami tersayang. Tapi apa kelebihan yang paling ketara pada mesin basuh top load ni?

Ha, moh kite rungkaikan bersama.

LG Top Load Washing Machine with Smart Inverter 9kg (T2109VS2B​)

Harga Yang Murah

Dari segi perbezaan harga bagi rata-rata produk dan jenama bagi mesin basuh top load ternyata lebih murah berbanding mesin basuh front load. Hal ini mungkin disebabkan bahan binaan badan bagi mesin basuh top load adalah dari bahan yang lebih lembut dan tidak selasak mesin basuh front load.

Mudah Dioperasi

Siapa je yang tak pernah membasuh dengan mesin basuh top load, memang mudah dan senang untuk dioperasikan, tanpa perlu menunduk untuk memasukkan pakaian. Pasti tak ada masalah sakit belakang.

Malah, papan pemapar operasinya pun mudah difahami walaupun digunakan oleh anak kecil kita yang baru belajar membuat kerja-kerja rumah hasil delegasi berkesan didikan ayah mereka. (orang lelaki juga dapat kredit ye)

Kos Membaiki yang Murah

Mesin basuh top load mempunyai permintaan yang tinggi di Malaysia dek kerana mudah dikendalikan ramai suri rumah tanpa perlu pening kepala dan, mungkin disebabkan permintaannya tinggi, harganya mampu dijual oleh pengeluar pada harga yang lebih murah.

Disebabkan permintaan yang tinggi ini, jika berlaku sebarang kerosakan sekalipun, ramai para repairman mesin basuh berpengalaman menawarkan harga servis yang kompetitif dan ditambah dengan kesdian alat gantinya yang mudah didapati di pasaran, menjadikan kos membaiki menjadi lebih murah dan berbaloi.

Cuma, pastikan anda memilih mesin basuh yang dipilih ramai orang supaya tiada masalah mendapatkan alat ganti dari produk mesin basuh yang jarang digunakan.
*jangan jadi macam admin dulu. Nak sangat pilih jenama yang pelik-pelik, bila rosak, alat gantinya susah benar nak jumpa.

Tidak Memerlukan Anda Menundukkan Tubuh Ketika Mengisi Pakaian

Rata-rata ketinggian mesin basuh top load adalah sekitar 90cm hingga 120cm; iaitu berkadaran dengan ketinggian pinggang manusia. Malah dengan pintu bukaannya yang dibuka dari atas, menjadikan mesin basuh ini lebih ergonomika/bersesuaian dengan gerakat tubuh badan manusia kerana pengguna tidak perlu membongkokkan badan untuk menggunakannya menjadikannya pilihan ibu-ibu sebaga pilihan mesin basuh utama di Malaysia.

Kurang Kemungkinan Meninggalkan Bau Kurang Enak

Kebiasaan utama bagi setiap ibu-ibu yang menggunakan mesin basuh top load, air diisi sehingga penuh bagi memuatkan lebih banyak pakaian bagi setiap basuhan, lantas mengelakkan pembaziran ruang. Selagi tak penuh, takkan berjalan mesin basuh tu, ye tak?

Sebenarnya, terdapat kebaikan jika anda kerap memenuhkan setiap basuhan dengan pakaian dan air, kerana secara tidak langsung, disamping mambersihkan lebih banyak pakaian, cara ini juga menjadikan tub basuhan turut dicuci, lantas menjadikan tub bersih dan kurang digemari oleh bakteria untuk didiami.

Disebabkan itu, tidak seperti basuhan di sesetengah pusat dobi, membasuh menggunakan mesin basuh top load jarang menjadikan pakaian anda berbau masam dan tidak segar.
Memang selalunya wangi je bau baju anak-anak min.

Kelebihan Mesin Basuh Front Load

Kita dah melihat beberapa kelebihan mesin basuh top load, dan para pengguna mesin basuh top load pun dah bersorak. Jadi mari kita lihat pula beberapa kelebihan yang hanya dimiliki oleh mesin basuh front load.

Series 6 Front Load Washing Machine 8 kg 1200 rpm sumber: https://www.bosch-home.com.my/en/mkt-product/washers-dryers/washing-machines/front-load-washing-machines/WGG234E0SG

Bosch Series 6 Front Load Washing Machine 8 kg 1200 rpm (WGG234E0SG)

Basuhan Dari Mesin Basuh Front Load Lebih Bersih dan Menyeluruh

Mesin basuh front load menggunapakai kaedah basuhan dengan putaran vertikal yang menghasilkan daya angkat dan hempasan disamping memutarkan bahan basuhan, lantas menghasilkan sejumlah daya rintangan (geseran antara pakaian dibasuh) dan gosokan yang tinggi dan lebih menyeluruh. Malah putaran dari gerakan ini menghasilkan pusingan lengkap 360 darjah bagi setiap putaran, menjadikan hempasan yang dihasilkan menjadi lebih kuat dramatik(drama sungguh admin ni), seterusnya menjadikan basuhan menjadi menyeluruh dan sekata bagi setiap helai pakaian anda. 

Berbeza dengan mesin basuh top load, gosokan yang terhasil lebih minima dan tidak terlalu menyeluruh hasil dari daya tolakan dan tarikan secara horizontal, dan tiadanya hasil dari daya hempasan yang pasti menghasilkan lebih banyak geseran antara baju yang dibasuh anda. Bercakap dari segi geseran, geseran yang berlaku di dalam tub basuh boleh dikatakan minima kerana hanya pakaian yang berada dibahagian bawah tub sahaja yang digosok oleh pulsator basuhan, dan selebihnya hanya berlaku geseran sedikit di antara setiap pakaian.

Jadi, tidak hairanlah, jika ditanya kepada kebanyakan orang yang pernah mengendalikan kedua-dua jenis mesin basuh, mereka berpendapat basuhan dari mesin basuh jenis front load lebih bersih jika dibandingkan dengan basuhan dari mesin basuh jenis top load.

Mesin Basuh Front Load muat lebih pakaian pada Kapasiti sama

Jika kita sedang memilih mesin basuh, antara perkara utama yang selalu kita utamakan ialah kapastiti sesebuah mesin basuh, supaya dapat kita mengagak berapa banyak pakaian yang boleh disumbat ke mesin disesuaikan dengan jumlah ahli keluarga.

Namun, tahukah anda, kapasiti yang dinyatakan pada deskripsi produk mesin basuh front loader, merupakan kapasiti berat sebenar pakaian yang boleh anda muatkan ke dalam dram mesin, tanpa mengira beban air. Sebagai contoh, jika anda memilih sebuah mesin basuh front load berkapasiti 7kg, makanya anda boleh terus memuatkan 7kg pakaian keluarga anda ke dalam mesin basuh tersebut.

*Dah, jenuh pula nak timbang-timbang berat sebelum isi ye. Jangan gusar, angka kapasiti yang dinyatakan sebagai kapasiti mesin basuh itu hanya sebagai petunjuk bagi pengguna. Sebabnya, Semasa menggunakan mesin basuh anda, anda dapat merasa dengan naluri “keibuan” anda samada mesin basuh anda masih muat sehelai seluar dalam anak atau pun dah terlebih-lebih.Jadi, kalau bila anda rasa dah sendat semacam, maknanya kena kurangkan lah. Itu aje.

Mesin Basuh Front Load Jimat Air

Bagi anda yang tidak memiliki mesin basuh front load, tetapi  sudah pernah menggunakannya seperti berpeluang membasuh di rumah saudara anda, atau pernah membasuh di pusat dobi layan diri, pasti anda perasan, air yang berputar bersama pakaian anda kelihatan sedikit sangat. Airnya baru suku Tub, belum penuh pun tub, tapi mesin sudah mula berpusing. Berbeza dengan mesin basuh top load, anda perlu menunggu sehingga air sudah meliputi ketinggian pakaian di dalam tub, barulah mesin tersebut akan berputar/ berpusing.

Ya, mesin basuh front load memerlukan hanya sedikit air (kira-kira kurang separuh dari kapasiti tub) untuk menyelesaikan tugasan basuhan berbanding mesin basuh top load.

Rekabentuknya Disesuaikan Untuk Bermacam Ruang dan Susunan

Jika anda memilih mesin basuh front load kerana ketiadaan ruang menyangkut baju di rumah, maka anda sudah membuat keputusan yang bijak. Pasti anda telah merancang untuk mesin basuh anda digandingkan bersama sebuah mesin pengering baju dan disusun secara bertindan. Ini sudah tentu dapat menjimatkan ruang yang ada disamping mempelbagaikan kegunaan sesebuah sudut basuhan rumah anda.

Walau anda tidak merancang untuk ditindan bersama pengering pun, jika anda mempunyai ruang kosong pada kabinet dapur anda, anda boleh terus mendorong mesin anda ke ruang tersebut untuk mendapatkan penjimatan ruang yang lebih.

Malah, ruang diatas mesin basuh front load yang pada kebiasaannya adalah rata, membantu anda menjadikan ruang atas mesin basuh sebagai ruangan berguna untuk diletakkan lebih banyak barang.

Kekurangan Mesin Basuh Top Load

Setelah kita teliti tentang kelebihan kedua-dua jenis mesin basuh top load dan front load, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri yang pastinya berguna bagi pihak pengguna yang mementingkan kelebihan tersebut bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan setiap jenis mesin basuh pilihan mereka. Yang penting, masalah pengguna diselesaikan mengikut keperluan masing-masing dan tersendiri. Kami tidaklah mahu berbalah tentang mesin basuh yang mana yang paling bagus berbanding yang satu lagi.

Tapi dah alang-alang pengguna mesin basuh top load front load sudah pun bersorak girang, jadi bagi meraikan mereka, mari kami rungkaikan pula kekurangan yang ada pada kedua-dua jenis mesin basuh ini. Kita mulakan dengan kekurangan mesin basuh top load. Jom.

Top Load Kurang Efisyen Dalam Penggunaan Tenaga dan Air

Walaupun setelah mendapat penarafan 5-bintang bagi ke-efisyen-an tenaga, mesin basuh sebenarnya masih kurang efisyen jika kita membandingkannya dengan mesin basuh front load. Ini kerana gerakan motornya yang bergerak secara horizontal tidak dapat memanfaatkan kuasa putaran terhadap gaya basuhannya.

Malah jika kita membincangkan penjimatan air, mesin basuh front load masih lagi mengungguli topik ini, kerana masih tetap menggunakan kurang air berbanding mesin basuh front load.

Mesin Basuh Top Load Tidak Boleh Disusun Secara Bertingkat

Bagi anda yang tinggal di rumah yang luas atau mempunyai ruang khas yang disediakan bagi tujuan membasuh dan menyidai baju seperti di rumah-rumah kampung, teres dan sebagainya, menggunakan mesin basuh top load mungkin tidak mengundang sebarang masalah.

Tetapi bagi anda yang tinggal di kejiranan padat atau bertingkat yang mempunyai ruang yang sempit seperti di apartmen, studio dan sebagainya, memiliki perabot yang boleh disusun secara bertingkat sangat dititik beratkan, lagi-lagi mesin basuh di ruangan basuhan yang tentunya dah padat dengan ampaian dan pakaian. Ini belum dikira jika rumah anda hanya memiliki sebuah ruang basuhan yang hanya muat untuk sebuah mesin basuh dan tiada ruangan yang tinggal bagi ampaian, menjadikan keperluan untuk sebuah dryer (mesin pengering baju) amat diperlukan.

Perbezaan Mesin Basuh Front Load dan Top Load - Cucian Mana Yang Lebih Bersih? Photo by Helena Lopes: https://www.pexels.com/photo/woman-putting-clothes-to-washing-machine-27177590/

Jadi, untuk memilih sebuah mesin basuh top load sudah tentulah menjadi kegusaran yang berpanjangan bagi golongan ini kerana mesin basuh top load yang pintunya hanya dapat dibuka dari atas tidak boleh disusun secara bertingkat untuk menjimatkan ruang yang terhad, menjadikan mesin basuh jenis ini kurang digemari oleh mereka. 

Kurang Berkesan Membersihkan Fabrik yang Besar

Pernahkah anda membersihkan comforter/toto anda menggunakan mesin basuh top load. Jika berkapasiti di bawah 9kg, untuk memasukkan toto ke dalam tub itu sahaja pun sudah menjadi cabaran yang besar. Anda perlu melipat dan menggulung toto tersebut. Jika kapasiti mesin basuh anda dibawah 9kg ke bawah, min nasihatkan anda lupakanlah niat berkobar-kobar anda untuk mencuci toto, jarang-jarang sekali untuk muat.

Cabaran selepas siap mencuci belum terhenti ye. Setelah siap mencuci, anda perlu bertarung pula dengan toto yang dah pun basah dan berat untuk dikeluarkan dari tub. Ketika inilah kebanyakan wanita secara automatiknya menjadi ahli gusti dan ahli bina badan tidak berpengalaman.

Udah ler berat nor, bergulung berlipat totonye, aje naye pinggang mike. Serik!

Kekurangan Mesin Basuh Front Load

Tiadalah yang perlu disedihkan mengenai pilihan yang telah anda buat wahai pengguna mesin basuh top load, kerana sesungguhnya setiap kekurangan, masih terdapat kelebihan yang hanya kita pengguna sendiri yang tahu manfaatnya kepada kegunaan kita sehari-hari.

Tidaklah lengkap perbandingan ini tanpa kita merungkai kekurangan Mesin Basuh Front Load pula.
Tadi sek sana dah termenung, kali ini giliran kome ler pulak.
Ini sedikit sebanyak kekurangan yang terdapat pada mesin basuh Front Load.

Lebih Mudah Terdedah Pada Bakteria, Kulat dan Bau

Pernahkah anda menggunakan mesin basuh layan diri di pusat-pusat dobi layan diri? Bagi anda yang sedikit sensitif terhadap bau bauan yang terhasil selepas pakaian menjalani proses basuhan di pusat dobi layan diri (harus kami nyatakan tidak semua mesin basuh layan diri mempunyai proses servis yang sama, ada sedikit lewat, dan ada yang tepat masanya, bergantung kepada putaran jangkamasa servis), anda mungkin akan menghidu suatu bauan yang tidak begitu menyegarkan, padahal pakaian anda telah dicuci dengan begitu bersih sekali.

Seperti yang telah kami terangkan mengenai mesin basuh top load yang biasanya menjalani cucian dram menyeluruh semasa mencuci dengan kapasiti penuh, hal ini tidak berlaku ketika menggunakan mesin basuh front load. Ini mungkin disebabkan air yang digunakan adalah sedikit, menjadikan tub tidak dialirkan dengan air bersih secara menyeluruh terutama di bahagian atas dram (mungkin terkena sedikit percikan air pada dinding dalaman sekeliling mesin hasil putaran tub). Dan ini menyebabkan kesan percikan (air bekas basuhan atau sabun) yang tidak sekata, dan tidak dibersihkan dengan air yang bersih, telah mengundang kulapuk, bakteria dan seterusnya kulat yang boleh menyebabkan berlakunya pengeluaran bauan yang tidak sepatutnya.

Jika hal ini telah berlaku kepada anda, anda mungkin perlu meluangkan masa untuk melakukan sedikit pembersihan dan servis tehadap gasket, dispenser malah keseluruhan dram dan pintu mesin basuh anda dengan air bersih. Dan menginggalkan pintu mesin terbuka dengan lebih kerap boleh membantu mengudarakan mesin anda dengan lebih baik.

Namun, bagi anda yang sedang mencari mesin basuh dari jenis front load ini, anda mungkin boleh mencari mesin basuh yang mempunyai ciri-ciri seperti pengudaraan dan menyah mikrob yang telah dikeluarkan oleh pengeluar mesin basuh bagi model-model terbaharu mereka.

Bunyi Putaran yang Bising

Putaran yang dihasilkan oleh rata-rata mesin basuh front load memang kuat, sehinggakan toto yang dikeluarkan setelah mencuci terasa ringan benar, kerana kebanyakan cecair telah dinyah semasa proses spinning dengan begitu efisyen sekali.

Namun, dengan kekuatan putaran tersebut jugalah, bunyi yang dihasilkan juga agak bising dan sedikit mengganggu.
Bak kata Nenek teman, Dah serupa bunyi kipas helikopta.

Keperluan Untuk Menunduk Semasa Mengisi dan Memunggah Pakaian

Dengan ketinggian pintunya yang rendah memang memerlukan pengguna untuk membongkokkan badan mereka bergantung kepada ketinggian mereka. Malah ada dikalangan mereka yang lebih selesa melutut semasa mengisi pakaian ke dalam mesin. Isunya tidak timbul dan mendatangkan masalah bagi para pengguna yang muda remaja, tetapi merupakan satu masalah bagi mereka yang agak berusia dan mempunyai masalah belakang badan.

Perbezaan Mesin Basuh Front Load dan Top Load - Cucian Mana Yang Lebih Bersih? Photo by Nicola Barts : https://www.pexels.com/photo/mother-and-daughter-doing-laundry-7943697/

Cadangan kami ialah, jika perlu diserah tugasan membasuh kepada anak-anak, silalah berbuat demikian. Lagipun cara penggunaan mesin basuh front load kini boleh dikatakan berfungsi secara automatik penuh. Tinggal masukkan pakaian ke dalam dan semasa memunggah pakaian selepas siap sahaja.

Berharga Lebih Mahal

Boleh kami katakan bahawa memiliki mesin basuh front load memerlukan belanja yang besar semasa membeli, mengguna dan membaikinya.

Harganya yang berkali ganda lebih mahal berbanding mesin basuh top load biarpun pada kapasiti sama, ditambah dengan keperluan penggunaan cecair dan bahan cucian bersesuaian yang lebih premium, dan harga alat ganti yang lebih mahal menjadikan harga menjaga mesin basuh front load lebih murah. Tetapi, disebalik harganya yang lebih mahal ini telah berjaya di tangani dengan ciri-ciri bijak dan pelbagai program cucian yang lebih pelbagai. Malah, seperti yang telah kami kongsikan, mesin basuh front load lebih cenderung membantu pemiliknya untuk menjimatkan lebih banyak air, tenaga dan masa.

Kesimpulan

Biarpun terdapat perbezaan diantara kedua-dua jenis mesin basuh ini, anda sebagai pengguna lebih memahami keperluan yang diutamakan ketika memilih sebuah mesin basuh untuk keluarga anda. Sudah tentulah pelbagai pertimbangan telah diambil sebelum memilih sesuatu produk.

Jika anda seorang yang mementingkan ruang yang lapang dan ingin memanfaatkan lebih banyak ruang rumah anda sebagai ruang yang berfungsi, maka memilih mesin basuh front load merupakan pilihan yang lebih ideal. Malah jika anda mementingkan kelestarian dengan memilih produk yang menggunakan lebih sedikit air dan tenaga, mesin basuh jenis front load juga mungkin menepati kehendak anda sebagai sebuah mesin basuh keluarga.

Namun, jika anda mementingkan harga yang lebih berbaloi mengikut bajet semasa dan lebih selesa dengan rupa yang mudah tetapi berfungsi dengan baik, maka pilihan bagi anda mungkin sebuah mesin basuh top load dengan ciri rekabentuk konvesional dan kos penyelenggaraan yang rendah.

Jadi, sebelum membuat pilihan, pastikan anda telah meneliti segala keperluan dan pengggunaan jangkamasa pendek dan panjang yang bersesuaian dengan keperluan anda dan keluarga.

*Kami ada menyediakan artikel mengenai jenis-jenis lain mesin basuh untuk anda kenali dan terokai dalam artikel di bawah. Untuk meneruskan membaca, sila klik butang di bawah.

5 Jenis Mesin Basuh dan Ciri-ciri Yang Perlu Diketahui semasa Memilih

Produk Berkaitan

Basket Bakul Baju Kotor

Harga

RM13.90-RM79.50

Swiss Thomas Garment Steamer With Flat Pole & Iron Board

Harga

RM79.09

Kaki Mesin Basuh Beroda

Harga

RM11.97 – RM67.80

Connector Paip Mesin Basuh

Harga

RM10.87 – RM39.89